Thursday, August 28, 2008

700,000 lagu menjelang 2009


BAGUS: Zulkifli (berdiri tiga dari kanan) dan Ng bersama sebahagian wakil label dan artis yang hadir pada majlis sidang akhbar kerjasama antara Guamuzik dengan One Stop Music.
Guamuzik.com, One Stop Music setuju bekerjasama GUAMUZIK terus melangkah ke depan dalam menggapai impian memiliki koleksi 700,000 lagu dalam gerbang muzik onlinenya menjelang tahun 2009 apabila mengadakan kerjasama bersama sebuah lagi jenama yang mewakili pelbagai label bebas di Malaysia, One Stop Music, baru-baru ini. Sehingga hari ini, kira-kira 300,000 lagu sudah pun berada dalam simpanan gerbang muzik berkenaan, terdiri daripada pelbagai jenis lagu sama ada dari dalam mahupun luar negara. Koleksinya kini bukan hanya terdiri daripada lagu Melayu, malah turut merangkumi lagu Inggeris, Hindi, Tamil dan Cina.
Simpanan lagu Cina mereka tentunya lebih bertambah dengan kehadiran One Stop Music, yang antara lain turut mewakili jenama Rock Records, sebuah syarikat rakaman yang mempunyai kaitan terus dengan syarikat rakaman bebas terbesar Taiwan. Syarikat berkenan pula memiliki antara nama paling popular di kalangan peminat seperti Fish Leong, Angelica Lee dan Victor Huang. Acara pertukaran skrol persefahaman antara Guamuzik dan One Stop Music diadakan di Sri Pentas, baru-baru ini, dengan dihadiri Pengurus Besar Kandungan, Jenama dan Pemasaran Alt Media Sdn Bhd, M Zulkifli Abdul Jalil dan Pengerusi One Stop Music, Ng Chong Hock. Di Malaysia, One Stop Music mengendalikan pengurusan kandungan digital kira-kira 47 syarikat rakaman termasuk Luncai Emas, KRU Music Group, Fat Boys Records, Monkey Bone, New Southern Records dan Suria Records.
Kata Zulkifli, pihak Guamuzik tentu sekali amat berbangga dengan kerjasama yang baru dijalinkan. Menerusi persetujuan berkenaan, kini pelayar Guamuzik dapat memilih tambahan kira-kira 100,000 lagi lagu dalam simpanan mereka. "Tidak syak, kami kini menuju laluan yang betul untuk muncul gerbang muzik online terbesar di negara ini dan peminat muzik Cina pula tidak harus melepaskan peluang berkunjung ke gerbang ini bagi mendapatkan lebih banyak seleksi lagu kegemaran mereka," katanya. Dilancarkan awal tahun ini, gerbang berkenaan kian mendapat sambutan dan sesuai dengan perkembangan berkenaan, pihak Guamuzik sendiri dari semasa ke semasa berusaha mempertingkatkan perkhidmatan yang diberikan. Antaranya memperkenalkan perkhidmatan langganan di mana pelanggan boleh memuat turun sebanyak mana lagu yang diinginkan dengan hanya sekali bayar. Turut dirancang ialah perkhidmatan penghantaran dua hala di mana lagu yang dimuat turun akan dihantar ke PC dan juga telefon bimbit pengguna. Menurut Zulkifli, sambutan hangat yang diterima gerbang muzik itu tentu sekali berkait rapat dengan jumlah pelayar yang berkunjung ke laman sesawang gua.com.my yang kini mencecah sehingga tiga juta tatapan sebulan.
"Ketika ini, pengguna yang ingin memuat turun lagu daripada gerbang muzik ini perlu membayar secara purata kira-kira RM3 bagi sebuah lagu. Bayaran yang dikenakan mungkin berubah mengikut populariti sesebuah lagu atau seseorang artis," katanya sambil mendedahkan, pihaknya mensasarkan kira-kira 100,000 muat turun dalam masa 12 bulan. Kata Zilkifli, kandungan yang dimuatkan dalam gerbang berkenaan bukan hanya bersifat lagu popular dari dulu hingga sekarang, sebaliknya pihak Guamuzik turut menyediakan kandungan eksklusif seperti rakaman persembahan artis pilihan yang tidak mungkin dapat ditemui dalam gerbang muzik lain. Katanya lagi, Guamuzik juga amat mengalu-alukan kerjasama daripada kumpulan indie bersama mereka kerana gerbang muzik itu bukan bertindak sebagai penyimpan lagu-lagu semata-mata, malah mereka juga turut membantu mempromosikan artis atau kumpulan seperti menerbitkan video muzik mereka sekiranya bersesuaian.

0 comments: